Sunday, November 1, 2009

PASTI Tarik Pelajar Tahun 1 kembali ke Kelas PASTI


KOTA BHARU, 28 Okt: Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti) Malaysia akan memperkenalkan Kurikulum Kaafah (Kurikulum Asas Fardhu Ain dan Asas Fardhu Kifayah) dalam kurikulum pembelajaran Pasti.

Pengarahnya, Azrin Abd Majid berkata, kurikulum baru bermatlamat menarik semula kanak-kanak lepasan Pasti yang berada di tahap satu kembali semula ke Pasti.

"Mereka boleh mendapat pendidikan lanjutan dalam bentuk modul pendidikan Islam dan juga akademik selama 30 minggu setahun,"katanya di sini.

Katanya, pelancaran kurikulum itu nanti akan mencetuskan sejarah baru buat Pasti.

Menurutnya kurikulum Kaafah juga merupakan konsep usrah atau tuisyen kepada anak-anak yang berusia seawal tujuh tahun.

Beliau juga berkata, sambutan terhadap Pasti begitu menggalakkan termasuk anak-anak bukan Islam dihantar belajar di kelas Pasti.

"Kita juga menubuhkan Pasti khusus untuk anak-anak orang bukan Islam seperti di Kuala Kangsar, Perak iaitu anak-anak orang India yang tinggal di ladang di negeri itu.

"Kami juga mewujudkan Pasti di Bagan Nakhoda Omar Kelang, Selangor di mana seramai 20 pelajar anak kaum Tionghua,"katanya.

Manakala di Kelantan terdapat Pasti yang dibuka di kampung penduduk Siam.

Kata beliau Pasti membuka Pasti yang 'multiratio' bagi memberi pendidikan khusus kepada anak-anak di kawasan penduduk pelbagai kaum.

Beliau juga berkata, cabaran dengan wujudnya kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan projek Permata Negara pada peringkat awal ada sedikit kesan kepada Pasti.

"Namun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini Pasti menunjukkan lonjakan pertambahan pelajar yang sangat menggalakkan.

"Jelas berlaku pertambahan bilangan pelajar dengan adanya kerajaan Pakatan," katanya.

Mengenai sambutan 25 Tahun Pasti Malaysia, beliau berkata objektif sambutan itu bagi menghargai tenaga pencetus dan penggerak zaman awal penubuhannya.

Katanya, pencapaian Pasti selama 25 tahun dapat merapatkan ukhuwah di kalangan saf kepimpinan Pasti Pusat, negeri, kawasan dan cawangan.

Sambutan itu akan diadakan 30 dan 31 Oktober ini bertempat di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV.

Perasmiannya akan dilakukan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Manakala pada malamnya akan diadakan ceramah perdana yang akan disampaikan Naib Presiden PAS, Datuk Mahmuf Omar; Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan dan Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaludin.

Dan pada 31 Oktober diadakan perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pasti Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...